PJ City FC sasar lima teratas Liga Super
HEADQUARTERS

Level 6, QI Tower, PJ8, 23, Jalan Barat, Seksyen 8 Petaling Jaya, 46200 Petaling Jaya, Selangor.
Tel: 03-7967 9888

HOME STADIUM

Stadium Petaling Jaya,
Jalan Stadium 7/15, Ss 7, 47301 Petaling Jaya, Selangor.

  • Grey Facebook Icon
  • Grey Instagram Icon
  • Grey Twitter Icon

© 2020 by Petaling Jaya City FC.

PJ City FC sasar lima teratas Liga Super

Updated: Jan 27, 2019


Vijay (tengah) dan Megat Najmuddin (empat kanan) bergambar bersama legeneda bola sepak negara selepas menyerahkan jersi pasukan Petaling Jaya City di Petaling Jaya, hari ini. Foro MOHD YUSNI ARIFFIN

PENDATANG baharu dalam saingan Liga Super Malaysia, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) mengintai kedudukan lima teratas untuk musim pertama mereka.

Ketua jurulatihnya K Devan berkata, sasaran itu diletakkan pemilik baharu kelab, QI Group yang mengambil alih pasukan yang sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA).

“Sebagai jurulatih, saya yakin kami boleh capai sasaran itu kerana pada musim lalu, kami lakukan dengan baik (dalam Liga Perdana) dengan peruntukan yang kecil.

“Musim ini, dengan peruntukan lebih besar dan pemain yang ada, kami boleh capai sasaran itu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran pasukan dan jersi di Petaling Jaya, hari ini.



Pasukan itu yang ditaja oleh QNET, anak syarikat QI Group, akan memulakan kempen mereka dengan menentang Melaka United pada 2 Februari depan.

Devan berharap mereka akan meraih kemenangan pada perlawanan sulung itu sebagai permulaan positif untuk pasukan selain meningkatkan keyakinan pemain.

Pengarah QNET Malaysia yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Kelana Jaya selama dua penggal, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas adalah Presiden baharu kelab, sementara K Rajendran kekal sebagai pengurus pasukan.

PJ City FC akan terus menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berkapasiti 25,000 tempat duduk itu sebagai venue tuan rumah sementara Universiti Sains Islam Malaysia sebagai tempat latihan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif QI Group Datuk Seri Vijay Eswaran berkata, pasukan berkenaan adalah pasukan Liga Super pertama yang dimiliki oleh entiti korporat.

“Sukan, khususnya bola sepak mempunyai unsur hebat dalam menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang. Kami memilih MIFA kerana mereka mempunyai rekod yang bagus dan mereka mencipta kejayaan dengan belanjawan yang kecil sebelum ini.

“Kami tidak bercadang untuk berbelanja besar ke atas pemain kerana wang tidak menjanjikan kejayaan. Kami akan fokuskan kepada pembangunan di akar umbi serta mewujudkan pasukan Malaysia yang bersatu untuk mengembalikan era kegemilangan pasukan kebangsaan pada 1970-an,” katanya.

Vijay juga berharap pasukan itu akan mendapat sokongan daripada peminat Manchester City di Malaysia memandangkan ia mempunyai beberapa persamaan dengan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris terbabit.

“QNET adalah rakan kongsi Manchester City sejak 2014, sebab itu kami memilih ‘city’ pada nama pasukan. Malah warna jersi (biru muda) juga sama. QNET juga menaja Persekutuan Hoki Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pada pelancaran jersi, legenda bintang bola sepak negara dan duta kelab, Datuk Shukor Salleh, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk N Thanabalan serta Datuk M Karathu menerima jersi pasukan.

Untuk rekod, perjalanan MIFA dalam Liga Malaysia (Liga M) seperti kisah dongeng apabila layak ke divisyen satu Liga Super selepas pasukan Felcra FC dibubarkan kerana masalah kewangan.

Diasaskan pada 2004, MIFA memulakan saingan dalam divisyen tiga Liga M sebelum muncul juara pada 2016 dan dinaikkan ke Liga Perdana.

Selepas nyaris tersingkir daripada liga pada musim pertamanya, MIFA menamatkan musim lalu di tangga ketiga, ketinggalan dua mata di belakang pasukan Felcra FC yang berada di tempat kedua.


Source: Harian Metro ( https://www.hmetro.com.my/arena/2019/01/412904/pj-city-fc-sasar-lima-teratas-liga-super )