top of page

PJ City, Selangor sama kuat

KUALA LUMPUR: Rufino Segovia muncul penyelamat apabila jaringan lewatnya memastikan Selangor mengelak aib dengan mengikat pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City) 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Segovia meledak gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-90 untuk Selangor mencatat keputusan seri buat kali kedua berturut-turut musim ini selepas diikat dengan jaringan sama oleh FELDA United di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.



Bagi PJ City pula, ia adalah mata pertama yang diraih selepas dinaikkan pangkat ke Liga Super musim ini apabila tewas 1-2 pada aksi pembukaan kepada Melaka United, minggu lalu.

Keadaan padang yang becak akibat hujan sebelum perlawanan menjadi faktor utama kedua-dua pasukan gagal menunjukkan persembahan menarik terutama di babak pertama.

Keadaan itu jelas apabila tidak banyak gerakan menarik dapat dilakukan dengan percubaan terbaik Selangor hanya hadir pada minit ke-28 menerusi rembatan jarak dekat Syazwan Zainon yang sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol PJ City.

Aksi di babak kedua tampak lebih rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan PJ City hampir berada di depan pada minit ke-54, namun rembatan Pedro Henrique berjaya diselamatkan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Tujuh minit, giliran Faiz Nasir pula melepaskan peluang untuk meletakkan Selangor di depan apabila percubaannya di dalam kotak penalti tidak menepati sasaran.

Henrique berjaya meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-79 menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Khairul Azhan.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila turut dihadiahkan sepakan penalti selepas Syahmi Safari dijatuhkan pertahanan PJ City pada minit ke-89.

Peluang itu tidak disia-siakan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Segovia untuk Selangor membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan.

1 view0 comments
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page