top of page

TFC vs PJ City – Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari



Terengganu FC (TFC) dibelasah teruk oleh pendatang baharu Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Biarpun mendahului tiga gol pada separuh masa pertama, akibat lena dan leka, anak buah Irfan Bakti Abu Salim dihukum dengan kebangkitan PJ City pada babak kedua sehingga mereka menghancurkan TFC dengan kelebihan lima gol.

Pada perlawanan tersebut, TFC bermula garang dengan gol pertama hasil daripada penyerang mereka, Kipre Tchetche pada minit ke-11 hasil daripada hantaran silang pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov.

Tidak cukup dengan satu gol, anak buah Irfan Bakti menambah jaringan kedua pada minit ke-17 menerusi pemain baharu, Nabil Ahmad Latpi yang menerima hantaran sebelah kiri dari kapten pasukan, Lee Tuck.

TFC terus mengukuhkan kedudukan apabila pemain lagenda mereka, Ashari Samsudin menyumbat gol ketiga bagi memberi kedudukan 3-0 kepada skuad Penyu yang menewaskan penjaga gol PJ City, Muhaimin Mohamad. Keputusan ini kekal sehingga tamat separuh masa pertama.


Masuk sahaja babak kedua, situasi yang dihadapi TFC umpama peribahasa – disangka panas hingga ke petang, rupanya panas ditengah hari.

Skuad PJ City yang dikendalikan oleh K Devan bangkit untuk menyambar peluang terhidang pada minit ke-48 untuk memberi gol pertama menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti melalui Elizeu Batista.

Skuad yang terkenal dengan gelaran The Pheonix menjadikan gol pertama sebagai pembakar semangat apabila menambah gol kedua bagi merapatkan jurang dengan TFC melalui pemain impart baharu. Pedro Henrique pada minit ke-56.

Tidak sampai seminit, pemain import baharu PJ City, Washington Brandao menjaringkan penyamaan melalui larian solo sebelum merembat kencang dalam kotak penalti sekali gus berjaya mengikat kedudukan 3-3.

PJ City terus menghukum TFC dengan gol kemenangan melalui Zamri pada minit ke-77 sebelum Henrique menambah gol kelima buat PJ City pada minit ke-80 berpunca hantaran silang Brandao.

Protes peminat

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kecoh sejurus selepas perlawanan apabila lebih 200 peminat setia TFC melakukan protes selepas kekalahan mengejut 3-5 ke atas pendatang baharu, PJ City malam tadi.

Para peminat meminta Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu melakukan rombakan kepada pemain yang gagal memberi aksi terbaik sambil meminta rombakan turut dilakukan pada barisan kejurulatihan.

Ariffin Mat Ali berumur 57 tahun, peminat setia kepada pasukan TFC kesal dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain TFC.

“Kami berkumpul malam ini bukan untuk merusuh, tapi sebagai tanda protes kepada pihak pengurusan yang gagal membantu pasukan meningkatkan corak permainan selepas sekian lama kami berdiam diri.

“Kami sayangkan bola sepak Terengganu, tapi jika ini yang berlaku perubahan drastik harus dilakukan segera dalam pasukan dan pihak pengurusan bagi mengelak skuad Penyu terus merudum.

“Saya minta Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PBSNT campur tangan dalam hal ini, kami mahu dialog dengan pihak pengurusan untuk mengetahui punca sebenar kemerosotan pasukan.

“Kami harap permintaan ini mendapat perhatian Presiden PBSNT demi menyelamatkan maruah pasukan TFC,” ujarnya kepada BH Sukan.

3 views0 comments
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page