top of page

Aksi hidup mati PJ City



Seremban: "Ia perlawanan penentuan dan hidup mati kami musim ini," kata pengurus skuad Petaling Jaya (PJ) City FC, K Rajendran mengenai pertembungan pasukan itu dengan Sabah FC.


Kedua-dua pasukan membuat perhitungan terakhir dalam aksi Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.


Rajendran akui tugas berat bakal menanti skuad bimbingan P Maniam kerana beraksi di gelanggang lawan, selain rekod silam yang seimbang antara kedua-dua pasukan di gelanggang berkenaan.


"Memang tugas amat mencabar terpaksa dihadapi PJ City berikutan kami beraksi di tempat lawan pada perlawanan penentuan malam esok dan kami perlu mencatat keputusan positif jika mahu memastikan tempat ke suku akhir terjamin.


"Biarpun begitu, peluang kami tetap ada kerana kami hanya perlu seri dengan Sabah untuk mengiringi Johor Darul Ta`zim (JDT) ke suku akhir," katanya ketika dihubungi.


Rajendran berkata, beliau sudah menemui skuad berkenaan pagi tadi bagi memberikan kata-kata semangat agar pemain dapat menunjukkan satu persembahan bertenaga dan semaksima mungkin.


Beliau mendapati persiapan pasukan menentang anak buah Datuk Ong Kim Swee berjalan lancar, malah mendapati semua pemain utama boleh beraksi tanpa sebarang halangan termasuk kecederaan.


Menurutnya, barisan pemain akan diturunkan tidak banyak berubah, namun yakin barisan kejurulatihan pasukan sudah mempunyai strategi tertentu dalam usaha menafikan kehebatan Sabah.


"Apa yang saya harapkan adalah pemain perlu memberikan komitmen lebih 100 peratus kerana pasukan lawan sudah pasti memberikan tentangan habis-habisan. Saya amat berharap percubaan kali keempat untuk membawa PJ City melangkah lebih jauh dan berada dalam kalangan lapan pasukan terbaik Piala Malaysia berjaya musim ini," katanya.


Ketika ini, PJ City berada di tempat kedua carta Kumpulan D dengan mengumpul lima mata sama mata dengan Sabah di tempat ketiga, namun mereka dipisahkan dengan jumlah jaringan balas lima dan sembilan gol.



7 views0 comments
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page