Gombak: Kesusahan keluarga balu pemain pertahanan pasukan bola sepak PJ City, Rajes Perumal yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari latihan mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Skuad Perkeso Prihatin mengambil langkah proaktif dengan memproses bantuan faedah yang mana waris mendiang layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM).
Balunya, S Komathy, 36, bersama tiga anaknya, Thivyaakini, 9, Pirutheswar,7, dan Kaveenilavab, 2, akan menerima FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan.
Komathy berkata, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya yang kehilangan suami yang selama ini menyara mereka sekeluarga termasuk ibu mentua dan neneknya.
Menurutnya, pada hari kejadian Ahad lalu, dia ada menghubungi suaminya sebanyak enam kali pada jam 8.30 malam namun tidak berangkat.
"Saya hanya mengetahui suami terbabit kemalangan pada tengah malam apabila rakan datang ke rumah memberitahu suami kemalangan.
"Saya dan rakan kemudian terus ke Hospital Selayang. Saya pada mulanya menyangka dia hanya cedera namun terkejut apabila dibawa ke bilik mayat dan mendapati suami sudah tiada," katanya selepas menerima lawatan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal di kediamannya di Batu Caves, di sini, hari ini.
Katanya, suaminya sudah membuat persiapan dengan membeli kelengkapan menyambut Deepavali namun tahun ini tidak dapat menyambutnya bersama.
"Selain duit bantuan diterima itu, saya juga ingin membuka perniagaan bagi menyara kehidupan kami selepas ini," katanya.
Sementara itu, Subahan berkata, Perkeso mengadakan lawatan hari ini untuk menyerahkan wang FOT hasil caruman mendiang di mana pihaknya turut memberi RM2,000 bagi urusan pengebumian.
"Tiap-tiap bulan keluarga ini akan menerima RM3,555 dan berterusan sampai bila-bila di mana jika berlaku apa-apa kepada isterinya wang itu akan disalurkan kepada anak-anaknya sehingga berusia 21 tahun.
"Bagaimanapun jika anaknya-anaknya ketika berusia 21 tahun masih belajar, Perkeso akan tetap membuat bayaran itu," katanya.
Beliau berkata, Perkeso menyarankan majikan supaya membuat caruman ke atas pekerjanya kerana keluarga akan mendapat manfaat jika berlaku apa-apa kepada pencarum.
Ketua Pegawai Eksekutif PJ City, S Ganesh pula berkata, pihaknya sudah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada keluarga Rajes malah hasil kutipan tiket pada perlawanan Piala Malaysia bertemu JDT Rabu ini juga akan diserahkan kepada keluarga Rajes.
"Kita juga dalam perancangan untuk membantu dari segi kewangan secara berterusan dan ini masih dalam perbincangan," katanya.
Σχόλια