top of page

DNA ‘Yakini Lokal’ PJ City Akan Diteruskan Pada Musim 2022



Pasukan kendalian P. Maniam, Petaling Jaya City FC (PJ City) akan meneruskan pendekatan menggunakan 100% pemain lokal atau tempatan dalam saingan Liga Super 2022.


Tahun lalu, pasukan yang dimiliki oleh Dato’ Sri Vijay Eswaran ini mengumumkan satu pendekatan berani untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2021 tanpa khidmat pemain import.



Pemilik PJ City, Dato; Sri Vijay Eswaran – Foto: PJ City
Pemilik PJ City, Dato; Sri Vijay Eswaran – Foto: PJ City

Pelbagai reaksi yang diberikan oleh para penyokong bola sepak tempatan terhadap pengumuman tersebut. Ada yang menyambut baik kerana ia memberikan peluang yang lebih besar kepada pemain tempatan untuk beraksi.


Manakala ada juga sebahagian penyokong melihat ianya umpama ‘menempah’ tiket ke saingan Liga Premier 2022 kerana kurang percaya akan kebergantungan kepada kemampuan pemain tempatan semata-mata.



Kedudukan akhir Liga Super 2021 – Grafik: MFL

Bagaimanapun, setelah mengharungi 22 perlawanan Liga Super musim ini, PJ City bukan sahaja terselamat daripada terjerumus ke kancah liga divisyen dua malahan turut menamatkan saingan di tangga ketujuh mengatasi pasukan-pasukan seperti Melaka United, Sabah dan Sri Pahang.


“Sudah tentu, hala tuju Dato’ Sri Vijay Eswaran menggunakan pemain tempatan akan diteruskan, dia nak bagi peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk bermain,


“Kita boleh nampak Darren (Lok) ada peluang, Syahmi (Zamri) ada peluang dan juga (Khyril) Muhymeen ada peluang untuk bermain,


“Jadi, kita melahirkan pemain, kalau kita tengok Jeremy (Wei Shen Lim) tak pernah bermain tiba-tiba dia telah bermain dalam kesebelasan utama pasukan PJ City,


“Ada banyak pemain muda yang dapat peluang untuk bermain, ini satu platform daripada PJ City untuk pemain-pemain muda bermain.” kata Maniam dalam sidang media selepas daripada perlawanan menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.



Syahmi Zamri ketika beraksi menentang Selangor, semalam – Foto: PJ City

PJ City turut menutup saingan Liga Super musim ini dengan bergaya apabila menumpaskan Selangor kendalian Karsten Neitzel dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Khyril Muhymeen (20’) dan Syahmi Zamri (62’).


Sementara itu, bercakap mengenai kejohanan seterusnya, jurulatih berusia 52 tahun ini berhasrat untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda di dalam skuadnya untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia kelak.


Bagaimanapun, bekas jurulatih Selangor dan skuad kebangsaan bawah 15 tahun (B-15) tidak menetapkan sebarang sasaran yang spesifik untuk dicapai oleh pasukannya.


“Kita ada satu lagi kejohanan iaitu Piala Malaysia, kita tahu ada banyak pasukan gergasi dalam Liga Super dan dalam Liga Premier,


“Jadi kita berpeluang memberikan pemain-pemain untuk bermain dalam Piala Malaysia terutamanya pemain muda untuk mempertingkatkan skil dan dapat bermain dalam permainan.” katanya lagi.




2 views0 comments
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page