Kuala Lumpur: PJ City FC menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan pertama dalam aksi ketiga perlawanan peringkat kumpulan selepas menumpaskan Kelantan FC 3-1 di Stadium MPBJ, Kelana Jaya sebentar tadi.
Selepas tumpas dan seri perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, anak buah P Maniam membuktikan mereka bercita-cita besar untuk mara ke suku akhir saingan berkenaan buat kali pertama.
Mereka tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila penyerang harapan, Darren Lok berjaya membuka jaringan pada minit ke-11 selepas menyambar hantaran jauh K Prabakaran tatkala pertahanan Kelantan dilihat masih belum menyesuaikan diri. Tuan rumah terus berada dalam kedudukan selesa apabila menambah gol kedua pada minit ke-19 kali ini menerusi R Kogileswaran selepas menampan masuk hantaran lintang Khyril Muhymeen Zambri.
PJ City hampir menambah gol ketiga empat minit kemudian hasil kesilapan pertahanan Kelantan, Yusri Yuhasmadi namun percubaan Filemon Anyie berjaya diselamatkan penjaga gol, Farizal Harun.
Pada minit ke-36 Kelantan berjaya merapatkan jurang apabila import pertahanan mereka, Christos Intzidis menyempurnakan sepakan percuma menerusi rembatan rendah yang melepasi benteng dan gagal diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Bersambung babak kedua tuan rumah dan Kelantan gagal melakukan sebarang percubaan bahaya sehinggalah pada minit ke-75 apabila Filemon hampir menambah gol ketiga hasil kesilapan Intzidis yang ingin mengeluarkan bola dari dalam petak penalti sebelum ditampan pemain kelahiran Sarawak itu namun bola terkena tiang. Bagaimanapun, usaha PJ City untuk mencari gol ketiga akhirnya membuahkan hasil apabila Darren menambah gol kedua peribadinya selepas menolak masuk hantaran lintang V Ruvethiran.
Hasrat Kelantan untuk merapatkan jurang tidak berhasil sebelum perlawanan tamat untuk memberikan tiga mata berharga buat PJ City.
Comments