top of page

PJ City kekal 100 peratus buatan Malaysia!

Updated: Dec 29, 2021



PETALING JAYA: Kejayaan menduduki tangga ketujuh Liga Super 2021 meyakinkan Peta­ling Jaya City (PJ City) untuk mengekalkan 100 peratus pemain tempatan dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) 2022.


Merupakan pasukan termuda dalam liga domestik, PJ City menamatkan kempen Liga Super musim lalu dengan mengatasi Melaka United, Sabah, Sri Pahang, Perak dan UiTM FC.

Skuad The Phoenix turut memberi tentangan sengit dalam Piala Malaysia, namun gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas berada di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah dalam Kumpulan D.


“Pemilik kelab (Datuk Seri Sri Vijay Eswaran) percaya, kudrat pemain tempatan mampu menjulang PJ City apabila memulakan musim 2021 dengan pemain tempatan sepenuhnya.

“Musim 2021 membuktikan kami boleh beraksi dengan pemain tempatan sepenuhnya dan menamatkan saingan di tempat yang baik, iaitu nombor tujuh Liga Super.


“Selama kempen liga dan Piala Malaysia berlangsung, PJ City menunjukkan keputusan serta prestasi baik dengan khidmat pemain tempatan. Ini menunjukkan pemain tempatan sangat berkualiti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PJ City, S. Ganesh kepada Utusan Malaysia.


Katanya, biarpun ramai pakar bola sepak menganggap PJ City be­risiko tersingkir dari Liga Super kerana tidak memiliki tenaga import, mereka tetap meletakkan kepercayaan kepada pemain tempatan.


“Keputusan berani yang kami buat adalah selepas dua musim beraksi dengan gabungan pemain tempatan dan asing.


“Visi dan misi kami adalah terus mencari serta mempromosikan bakat tempatan yang kami percaya ada di luar sana.


“Harap faham kami bukan anti pemain asing. Kami benar-benar percaya akan menjadi ­lebih baik serta dapat mencari bakat tempatan yang cemerlang.


“Kami juga mendapat kejayaan besar tahun ini, di mana tiga pemain PJ City, Darren Lok, Kalamullah (Al Hafiz Mat Rowi) dan Kogileswaran (Raj) dipanggil untuk menyertai latihan bersama 30 pemain skuad kebangsaan,” katanya.


Kata Ganesh, beliau percaya banyak pasukan menghormati PJ City kerana mereka bukan lawan yang mudah ditewaskan biarpun menggunakan tenaga tempatan sepenuhnya.

“Saya bersetuju kami bukan pasukan yang berbelanja besar dan saya percaya banyak pasukan menghormati kami,” kata­nya.


Source: Utusan



3 views0 comments
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page