top of page
Team PJ

Kecederaan menimpa Nasir tamparan buat PJ City



Seremban: Persiapan skuad Petaling Jaya (PJ) City FC bagi menyambung semula cabaran Liga Super musim ini sedikit terjejas apabila tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah berpengalaman, Mohd Nasir Basharudin.


Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, Nasir yang juga bekas pemain Perak FC dan Terengganu FC (TFC) mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) pada lutut yang serius dan memungkinkan dia tidak dapat beraksi dalam tempoh yang lama.


"Kita terpaksa terima hakikat tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah berpengalaman, Nasir (Basharudin) dalam beberapa perlawanan akan datang kerana dia mengalami kecederaan pada lutut (ACL) yang serius.


"Oleh itu, kita perlu buat penyusunan semula dalam memastikan kekuatan pasukan terutama di bahagian tengah tidak terjejas dengan ketiadaan pemain terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau bagaimanapun akui sedikit lega dengan situasi dihadapi apabila kapten pasukan itu, K Gurusamy, yang tidak beraksi sejak April lalu kerana dibelenggu masalah kecederaan, sudah boleh berlatih.


"Gurusamy sudah kembali berlatih dan dijangka boleh diturunkan dalam perlawanan akan datang terutama menentang Penang, namun ia bergantung kepada perancangan dan strategi ketua jurulatih, P Maniam.


"Dengan kehadiran semula Gurusamy dalam pasukan, ia dijangka akan dapat memperkuatkan semula jentera tengah dan serangan yang membabitkan gandingan pemain seperti S Kumaahran, Mahali Jasuli dan Khyril Muhymeen Zambri," katanya.


Menurut Rajendran, sepanjang tempoh rehat, pasukan itu mengadakan beberapa aksi persahabatan dan mencatatkan keputusan yang baik kecuali tewas 0-1 dengan pasukan Preah Khan Capai Svay Rieng FC dari Kemboja.


Katanya, pasukan itu perlu mempamerkan kebangkitan sebaik Liga Super bersambung Sabtu ini, dengan memastikan kemenangan dicapai pada baki saingan.


"Kita sedar pasukan tidak boleh lagi kehilangan mata jika mahu terus bersaing dan meraih pencapaian terbaik musim ini. Saya berharap pasukan dapat pamerkan kebangkitan dengan catatan kemenangan terutama ketika menentang Penang nanti.


"Pun begitu mereka diingatkan berhati-hati dengan pasukan lawan berkenaan yang kini mendapat ketua jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan," katanya yang turut mengesahkan tiada kemasukan pemain baharu dalam pasukan itu ketika sesi perpindahan.




3 views0 comments

Comentarios


#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page