Petaling Jaya: Petaling Jaya City FC (PJ City) bangkit daripada ketinggalan untuk mengecewakan Kedah Darul Aman FC apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.
Kedah sekali lagi mensia-siakan peluang untuk menoktahkan aksi dengan kemenangan selepas mendahului dengan selesa pada suatu ketika, namun kelonggaran benteng pertahanan sedikit menghampakan.
Sebelum ini, skuad Hijau Kuning tewas dua kali berturut-turut di tangan Melaka United dan Sabah FC yang mencetuskan kebimbangan di kalangan peminat setia pasukan itu.
Dalam perlawanan itu, anak buah Aidil Sharin Sahak mendahului menerusi jaringan penyerang import dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja yang bijak menghidu peluang di depan gawang selepas berlaku situasi kelam kabut di minit ke-20 yang berpunca daripada sepakan sudut.
Tuan rumah tidak berputus asa sebaliknya berjaya bangkit mengikat kedudukan hasil sentuhan Darren Lok di minit ke-29 selepas tonggak kacukan itu menyambut percubaan Tamil Maran yang terkena palang sebelum melantun ke arahnya untuk dia hanya menolak masuk menewaskan Shahril Saari.
Kedah yang bakal beraksi di Piala AFC musim ini hanya memerlukan empat minit untuk kembali di depan, dengan Ngah Wanja sekali lagi mencetak nama selaku penjaring.
Rentak sama diteruskan pelawat pada babak kedua dan Ngah Wanja mencatatkan hatrik dengan gol ketiga pada minit ke-65 buat meletakkan bekas penjaring terbanyak Liga Jordan musim lalu itu mengumpul tujuh gol setakat ini.
Jumlah jaringan itu kini meletakkan dirinya bersaing hebat dengan peledak utama Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva yang mengumpul jumlah gol sama untuk masing-masing merebut anugerah Kasut Emas musim ini.
Skuad kendalian P Maniam cuba bangkit dengan mengimbangi aksi dan hasilnya pemain gantian, Mahali Jasuli merapatkan defisit gol pada minit 76 hasil tandukan tepat ke penjuru gawang Kedah.
Kebangkitan dramatik terus diperagakan tuan rumah dan pemain berpengalaman, Khyril Muhymeen Zambri muncul penyelamat dengan gol ketiga sekaligus kedua-dua pasukan berpuas hati berkongsi satu mata.
Comments