top of page
Team PJ

PJ City sasar kekalkan kemenangan ke atas Melaka United



Seremban: Skuad Petaling Jaya (PJ) City FC berharap dapat mengulangi keputusan cemerlang yang dicapai ke atas Melaka United FC apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super, di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Rabu ini.


Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, biarpun cabaran yang bakal dihadapi anak buah P Maniam kali ini berbeza kerana beraksi di gelanggang lawan, namun pihaknya berharap keputusan kemenangan itu dapat dikekalkan.


"Pada pertemuan pertama dengan Melaka United di tempat sendiri pada Mac lalu, kami menang 1-0, tetapi kali ini mereka bakal beraksi di tempat lawan dan sudah tentu cabaran serta tugas yang bakal dihadapi berbeza.


"Saya mengharapkan pemain PJ City dapat mempamerkan persembahan lebih bertenaga dan bijak mencipta peluang jaringan, agar ruang bagi mendapatkan kemenangan itu dapat diterjemahkan dengan baik.


"Hakikatnya pasukan amat memerlukan kemenangan selepas hasrat itu gagal dicapai pada perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, Sabtu lalu, apabila perlawanan berkenaan berkesudahan seri tanpa jaringan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau akui skuad bergelar The Phoenix itu perlu bekerja lebih keras lagi jika mahu mengekalkan rekod kemenangan dan sekali gus memastikan tiga mata dapat diraih ke atas Melaka United.


Menurutnya, perkembangan baik yang dipamerkan skuad bimbingan Asri Ninggal itu sejak kebelakangan ini perlu diberikan perhatian serius oleh pemain PJ City, kerana ia menggambarkan prestasi dan kekuatan skuad terbabit sudah meningkat.


"Saya menjangkakan tugas pemain PJ City kali ini lebih sukar, namun sudah berbincang dengan Maniam dalam usaha merencanakan taktikal terbaik bagi menghadapi Melaka United.


"Kita tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit perubahan dari segi kesebelasan utama pemain supaya persembahan pasukan kali ini lebih baik dalam usaha mendapatkan keputusan yang positif," katanya.


Rajendran berkata, misi pasukan itu ke Melaka untuk mendapatkan tiga mata namun dalam masa sama tidak mahu pasukannya tewas.


Justeru, beliau mengharap sentuhan penyudah yang lebih baik daripada jentera serangan pasukan itu terutama menerusi pemain kebangsaan, Darren Lok dan pemain berpengalaman, Mahali Jasuli.


"Saya berharap kali ini jentera serangan pasukan dapat bertindak lebih efektif dengan menjaringkan gol," katanya yang akui sedikit terkilan di atas kegagalan mendapatkan kemenangan ke atas KL City, Sabtu lalu, walaupun berjaya menguasai permainan.




1 view0 comments

Comments


#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page