PJ City tumbangkan Tok Gajah
- Apr 8, 2021
- 1 min read

Petaling Jaya: Reputasi 'pembunuh senyap' sememangnya layak buat Petaling Jaya City
(PJ City) apabila pasukan itu menjadikan Sri Pahang FC mangsa terbaharu apabila melakar kemenangan tipis 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.
Kejayaan meraih tiga mata itu adalah yang kedua selepas turut menumbangkan Sabah FC
1-0 pada aksi ketiga sebelum ini yang hanya dikuatkan dengan pemain tempatan musim ini tanpa kehadiran 'awang' import.
Situasi itu jelas berbeza dengan skuad Tok Gajah yang memiliki sentuhan tonggak import dalam kesebelasan utama namun masih tidak mampu untuk meraih keputusan positif di halaman lawan.
Malah, kekalahan itu adalah yang ketiga dalam lima aksi musim ini selain kekalahan pertama buat pengendali sementara Dollah Salleh yang mengambil tugas Thomas Dooley selepas direhatkan oleh pihak pengurusan.
Dalam aksi yang berat sebelah itu, Sri Pahang nyata menguasai penuh perlawanan sejak mula namun ketumpulan penyudah cukup menghampakan kem pelawat.
Sebaliknya tuan rumah yang sesekali menyerang berjaya meraih gol tunggal menerusi
D Kugan pada minit ke-33 yang cukup deras tanpa mampu dihalang penjaga gol pelawat.
Sri Pahang yang tidak berputus asa hampir menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Lee Tuck di minit ke-75 namun ia sedikit melewati palang untuk melegakan kem tuan rumah.
Ketika perlawanan menuju masa kecederaan, PJ City sepatutnya mampu menambah gol kedua tetapi hantaran lintang Mahali Jasuli sedikit ke belakang dan gagal di bawa rakan sepasukan untuk perlawanan berakhir memihak tuan rumah.
Source: Harian Metro
Comments