top of page

SYIHAN TEKAD KEKALKAN TEMPAT



Setelah mula diberi kepercayaan turun pada dua perlawanan terakhir, penjaga gol PJ City FC, Ahmad Syihan Hazmi tekad mahu terus mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama selain mahu membantu pasukan kekal di pentas Liga Super pada musim depan.


Menurut Syihan, dia sememangnya tidak menyangka akhirnya diberi peluang untuk turun bermain semasa ketika menentang Kuala Lumpur City pada 7 Ogos lalu selepas sekian lama menjadi pilihan kedua di belakang Kalamullah Al-Hafiz.


Tambahnya, peluang ini akan digunakan sepenuhnya bagi terus menambat hati pengendali pasukan, P. Maniam, selain berasakan kerja kerasnya sepanjang sesi latihan selama ini serta sikap tidak berputus asa membuahkan hasil.


Sepanjang berada di bangku simpanan, Syihan akui dia tidak pernah berasa kecewa sebaliknya sentiasa berusaha lebih gigih serta cuba memperbaiki jika terdapat sebarang kelemahan.


“Rasa bersyukur sangat kerana setelah sekian lama di bangku simpanan, saya mendapat peluang diturunkan dan memang kesempatan ini tidak akan saya sia-siakan.


“Dalam dua perlawanan sebelum ini saya sudah berikan sebaik mungkin dan harap saya terus diberi peluang bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan.


“Tidak terlintas untuk berasa putus asa apabila gagal untuk bermain sebaliknya saya kian bersemangat membuktikan apa yang saya ada dalam sesi latihan malah kita cuba belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.


Syihan yang berhijrah dari Negeri Sembilan sejak musim lalu sempat beraksi dalam empat perlawanan bersama PJ City di awal musim 2020 sebelum kehilangan tempat kepada Kalamullah Al-Hafiz.


Dia merupakan antara penjaga gol yang dilihat mempunyai masa depan yang cerah selepas pernah menjadi sebahagian daripada anggota skuad Bawah 23 tahun negara semasa Kejohanan AFC Bawah-23 tahun di China pada 2017.


Mengenai pertemuan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, penjaga gol berusia 25 tahun itu mengakui empat perlawanan terakhir yang akan dilalui PJ City begitu kritikal buat pasukan dalam usaha mengekalkan tempat di Liga Super pada musim depan.


Tambahnya, mereka perlu mendapatkan seberapa banyak mata bagi memastikan mereka mampu berada dalam zon selamat walaupun buat masa ini peluang buat PJ City untuk kekal dilihat cerah berikutan pasukan di tangga ke-11, Perak ketinggalan lima mata di belakang.


“Berdepan Kedah, saya dan rakan-rakan sepasukan akan cuba berikan fokus sebaik mungkin memandangkan lawan yang kami temui merupakan antara yang terkuat di Liga Super.


“Saya percaya dengan taktikal yang akan diterapkan jurulatih boleh memastikan kami melakar sesuatu dalam perlawanan itu dan paling penting kami mampu bangkit daripada beberapa deretan kekalahan yang dialami sebelum ini.


“Namun, saya percaya PJ City masih ada kualiti untuk kekal di Liga Super dan harap dalam empat perlawanan akan datang, kami boleh catatkan beberapa keputusan positif bagi mencari kedudukan yang lebih baik di Liga Super, ” katanya.


PJ City telah mengalami kekalahan empat kali berturut-turut dengan kali terakhir kemenangan dicatatkan ialah semasa menewaskan Sabah di Stadium MBPJ pada 24 Julai lalu.


Saksikan siaran langsung perlawanan PJ City FC lwn Kedah Darul Aman FC di TV Okey, Sukan RTM, unifiTV 701 & 702, aplikasi unifi playTV dan YouTube unifi.




8 views0 comments
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
#THEPHOENIX
bottom of page